BHUBANESWAR – Kerisauan mengenai aspek keracunan makanan sepanjang berada di dua bandar India iaitu Rourkela dan Bhubaneswar untuk aksi Piala Dunia Hoki 2023 bukan isu besar buat skuad hoki negara.
Doktor pasukan Malaysia yang juga Pegawai Perubatan Sukan di Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Munawwar Helmi Salim menjelaskan, kesihatan semua pemain dan barisan kejurulatihan berada dalam keadaan yang baik.
Hanya penyerang, Muhammad Shahril Saabah yang terpaksa menjalani rawatan disebabkan kecederaan hamstring kiri dialaminya ketika menentang Chile di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela pada Isnin lalu.
“Setakat hari ini semua sihat dan tiada masalah kerana memang pihak penganjur menitikberatkan kebersihan tempat tinggal serta pemakanan. Namun, kami tetap ambil langkah berjaga-jaga seperti tidak ambil minuman berais.
“Pemain juga sentiasa dinasihatkan supaya minum air dari botol, sentiasa cuci tangan, pakai pelitup muka di tempat sesak terutama ketika perjalanan dari Rourkela ke Bhubaneswar,” katanya.
Menariknya, beliau mengakui, keadaan ketika menginap di Perkampungan Sukan di Rourkela lebih selesa kerana fasiliti dan kemudahan yang mencukupi seolah-olah sedang bertanding pada Sukan Asia atau Sukan Olimpik.
“Dewan makan di Rourkela bercampur dengan pasukan lain, jadi risiko berjangkit lebih tinggi. Bagi mengelak kesesakan, setiap pasukan diberi slot waktu makan.
“Di Bhubaneswar lebih baik kerana tempat makan berasingan kerana satu hotel diberikan kepada dua pasukan sahaja. Cumanya, suasana sama seperti mana-mana hotel dan stadium agak jauh sedikit.
“Dari segi tempat tinggal, Perkampungan Sukan lebih luas, banyak ruang terbuka dan paling penting ada gimnasium, kolam renang untuk proses recovery, padang latihan serta stadium lebih dekat,” jelasnya.
Sebagai rekod, Perkampungan Sukan di Rourkela terletak bersebelahan Stadium Hoki Birsa Munda dan mengambil masa kurang lima minit dengan menaiki bas.
Jarak Hotel Swosti Premium iaitu penginapan rasmi skuad negara di Bhubaneswar dengan Hotel Kalinga hanyalah 2.7 kilometer tetapi tempoh perjalanan boleh memakan masa hampir setengah jam disebabkan trafik yang sesak.