SAN FRANCISCO, CALIFORNIA – Sebuah patung logo Twitter yang berbentuk seperti burung menjadi barangan paling mahal yang dijual dalam satu acara lelongan di ibu pejabat syarikat platform media sosial itu di San Francisco, California, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
Memorabilia logo burung berwarna biru itu dijual pada harga AS$100,000 (RM432,300).
Beratus-ratus barangan milik syarikat itu dilelong dalam acara selama dua hari yang berakhir kelmarin.
Pentadbir lelongan tersebut, Heritage Global Partners tidak menerbitkan keputusan akhir lelongan tetapi BBC telah mengumpulkan beberapa harga jualan sebelum ia ditutup.
Antara barangan yang berjaya dilelong termasuk sebuah bekas hiasan tumbuhan berbentuk simbol @ pada harga AS$15,000 (RM64,845) dan sebuah meja kayu bilik persidangan pada harga AS$10,500 (RM45,391).
Wakil Heritage Global Partners, Nick Dove memberitahu majalah Fortune bahawa lelongan itu tiada kaitan dengan usaha untuk mendapatkan semula kos pembelian Twitter yang berhara AS$44 bilion (RM190.2 bilion).
“Jika sesiapa benar-benar berfikir bahawa hasil daripada jualan beberapa komputer dan kerusi akan membayar kos sebesar itu, maka mereka adalah kurang bijak,” katanya.
Lelongan tersebut dibuat ketika Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Elon Musk berusaha mengurangkan kos syarikat setelah membelinya dengan harga AS$44 bilion (RM190.2 bilion).
Sejak pengambilalihan Twitter akhir Oktober tahun lalu, Musk telah memberhentikan kira-kira separuh daripada 7,500 pekerja syarikat itu selain menamatkan banyak manfaat yang diberikan kepada kakitangan seperti makanan percuma. – Agensi