MELAKA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menggariskan tiga tumpuan utama pada tahun ini iaitu prasarana, keselamatan dan pelaburan digital.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, di bawah fokus prasarana akan melibatkan akses internet dan perkhidmatan telekomunikasi sementara aspek keselamatan membabitkan data serta siber.
Menurut beliau, pelaburan digital dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik sekali gus menjadikan negara ini sebagai hab digital di rantau Asean.
“Sebelum ini kita banyak memberi fokus kepada pembinaan pusat-pusat pemprosesan data dan kedepan kita juga akan melihat kepada beberapa sektor lain. Usaha ini akan diselerasakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Perkara ini antara yang penting bagi saya yang mana kita bukan hanya memacu pertumbuhan ekonomi pasca pandemik tetapi juga untuk melihat apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital di rantau Asean,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Kerja Pelan Strategik KKD 2023-2025 dan Agenda KKD 2023 di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, fokus pelaburan digital termasuk ‘pas nomad’ dan Program Perdagangan Digital (DE Dagang).
Jelasnya, tumpuan berkenaan secara tidak langsung dapat membawa masuk lebih banyak bakat-bakat baharu ke dalam negara.
“MDEC juga akan meneroka beberapa sektor lain dalam pelaburan digital selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE