JAKARTA – Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) meramalkan peningkatan kes kebakaran hutan dan tanah di Indonesia sepanjang tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia.
Situasi itu dijangka berlaku disebabkan keadaan cuaca yang berubah, di mana musim panas diramalkan lebih lama pada 2023.
“Berdasarkan maklumat dari Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), musim panas 2023 akan menjadi lebih panjang.
“Justeru, ramalan kami pada 2023, operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah akan menjadi lebih besar-besaran berbanding 2021 dan 2022,” kata Ketua BNPB, Suharyanto semasa mesyuarat di Jakarta kelmarin.
Tambah beliau, kawasan hutan yang terbakar pada 2021 adalah seluas 358,867 hektar. Kadar itu bagaimanapun berkurang pada pada 2022 iaitu seluas 204,894 hektar.
Menurut Suharyanto, pemerintah menumpukan pengendalian kebakaran hutan di enam wilayah termasuk Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
Justeru, BNPB akan menyelaras dengan kementerian atau agensi berkaitan untuk melaksanakan mitigasi awal tahun ini. Salah satu caranya adalah menerusi teknologi pengubahsuaian cuaca (TMC).
Suharyanto berkata, TMC adalah berkesan dengan salah satunya telah terbukti berjaya mencegah ribut yang diramalkan menjelang sambutan Tahun Baharu 2022. – Agensi