fbpx

Jurutera ‘gigit jari’ rugi RM2.9 juta diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (dua dari kiri) ketika pelancaran program 'Walkabout & Advokasi Op Selamat 19' di Pasar Awam Taman Selamat, Bukit Mertajam, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Gara-gara terlalu takut diheret ke mahkamah, seorang jurutera terpaksa ‘berputih mata’ apabila mengalami kerugian akibat diperdaya sindiket penipuan Macau Scam sehingga mencecah RM2.9 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa yang berasal dari Pulau Pinang sebelum itu mendakwa telah dihubungi seorang individu yang mengirimkan satu bungkusan berisi kad pengenalan serta kad bank milik orang lain kepadanya pada 1 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa juga diugut oleh suspek yang memberitahu akan membuat laporan polis jika enggan mengakui penglibatannya dalam kes tersebut.

“Disebabkan panik, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 45 tahun hanya mengikut arahan sindiket terbabit sebelum dihubungi pula oleh seorang individu lain yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai polis dari IPK (ibu pejabat polis kontinjen) Perak.

“Dia (mangsa) kemudian diminta supaya membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan atau berdepan kemungkinan dikenakan tindakan atas dakwaan terbabit dengan kegiatan jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 129 transaksi bank telah dilakukan oleh mangsa atas arahan beberapa suspek terbabit yang dipercayai mendalangi sindiket penipuan Macau Scam itu iaitu antara 1 Disember hingga 6 Januari lalu.

“Selain memasukkan wang sendiri berjumlah RM1.9 juta, mangsa juga dikatakan sanggup meminjam wang sebanyak RM700,000 daripada rakan serta ahli keluarganya dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun yang diminta.

“Lebih malang, mangsa sanggup membuat pinjaman peribadi berjumlah hampir RM300,000 daripada dua buah bank untuk tujuan yang sama,” katanya.

Tambah Mohd. Shuhaily, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis semalam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI