fbpx

‘Jangan kecam Ira, lebih baik doakan Puteri Sarah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZARINA ANJOULIE

PETALING JAYA – Pelakon sensasi Zarina Anjoulie menasihatkan orang ramai agar berhenti mengecam isteri kedua pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar kerana khuatir perkara buruk berbalik kepada diri sendiri.

Dia yang mesra dengan panggilan Anju berkata, orang ramai seharusnya mendoakan kesejahteraan buat aktres, Puteri Sarah Liyana berbanding terus melemparkan kata-kata negatif terhadap pemilik nama penuh Faghirah Fatini Kazaruddin berkenaan.

“Bagi saya, tidak perlu sibuk hendak mengecam Ira dan sepatutnya doakan untuk Puteri Sarah kerana kita sendiri tidak tahu pengakhiran hidup kita bagaimana.

“Nanti kita ada anak dan manalah tahu anak sendiri yang rampas lelaki orang. Jangan terlalu yakin takdir hidup kau tidak akan berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang,” katanya dalam satu siaran langsung TikTok semalam.

Katanya, lebih baik mendoakan agar semangat Puteri Sarah terus kuat dalam menghadapi dugaan rumah tangganya ketika ini.

“Mendoakan untuk dia lebih baik, kita pun dapat pahala. Paling bagus ialah doakan dia kuat semangat, diberikan ketenangan hati,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Anak Pontianak itu mengakui akan berasa sakit hati sekiranya situasi sama berlaku terhadap dirinya.

“Jika tanya saya, memang akan sakit hati. Sekiranya aku jadi seperti Puteri Sarah, memang tiada masa nak naik turun mahkamah atau tahan selama empat tahun, memang kena pelangkung (pukul).

“Aku tak akan tahan empat tahun, cuma beri empat hari sahaja dan pelangkung perempuan itu.

“Empat tahun itu lama sangat untuk aku sebab dalam tempoh itu mungkin sudah boleh kahwin lain,” katanya dalam nada berseloroh.

Terdahulu, kisah mengenai kemelut rumah tangga Puteri Sarah dengan Syamsul semakin memuncak apabila pengarah filem Mat Kilau itu mengakui secara terbuka sudah menikahi Ira di Thailand pada 6 Januari lalu.

Tidak sanggup membiarkan diri terluka dan ditipu, Puteri Sarah seterusnya nekad memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 16 Januari lalu.

Meskipun dihambat dengan jutaan kecaman, Ira sehingga hari ini mengambil pendekatan mendiamkan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan membela dirinya.

Dia sebelum ini juga telah dikenakan tindakan mahkamah iaitu perintah injuksi interim yang diperintah berhenti meluahkan atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.

Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI