RIYADH – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi mengakui cukup gembira selepas anak-anak buahnya mempamerkan corak permainan sempurna untuk menyingkirkan seteru tradisi, AC Milan 3-0 pada aksi Piala Super Itali awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad Nerazzuri berjaya meraih gol menerusi ledakan yang dilakukan oleh Federico Dimarco, Edin Dzeko dan Lautaro Martinez sekali gus menghadiahkan trofi pertama pasukan musim ini.
Menurut Inzaghi, semua pemain telah menjalankan amanah serta tugas yang diberikan sebaiknya dalam memastikan pasukan lawan tidak mampu memberikan sebarang ancaman ke benteng pasukan.
“Saya sangat berpuas hati menyaksikan kami bukan sahaja melakar kejayaan, tetapi apa yang pemain tampilkan di atas padang dalam usaha meraih kemenangan cukup sempurna.
“Sasaran awal kami hanyalah untuk melayakkan diri ke pentas Liga Juara-Juara musim depan, tetapi masih mampu menjulang trofi pada kempen kali ini dan sudah tentu ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.
Sementara itu, penyerang Inter, Dimarco mengakui seperti tidak percaya apabila dapat menjaringkan gol pertama perlawanan khususnya pada aksi penting menentang skuad Rossonerri yang sememangnya musuh utama pasukan.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika ini kerana bukan mudah bagi mana-mana pemain menjaringkan gol pada aksi derbi, tetapi saya berjaya melakukannya. Ini adalah impian saya sejak bergelar pemain akademi Inter lagi untuk menjulang kejuaraan,” kata Dimarco. – AGENSI