GUA MUSANG – Seorang ibu bersama bayi lelakinya berusia enam bulan maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, Khoirul Bariyyah Mohamed Sokeri, 28, dan anaknya, Muhammad Alfah Abdul Rahim meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mereka mengalami kecederaan parah pada kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, dalam kejadian itu, Abdul Rahim Mohd. Nawi yang juga suami kepada Khoirul Bariyyah patah tangan kiri dan pinggang, manakala seorang lagi anak lelaki pasangan itu, Mohd. Lut, 5, patah kedua-dua belah kaki.
Menurutnya, siasatan mendapati, keempat-empat beranak itu menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia sedang dalam perjalanan dari Subang, Selangor menuju ke Kota Bharu.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Abdul Rahim yang merupakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah MPV jenis Naza Ria.
“Insiden itu menyebabkan kereta dinaiki empat beranak itu remuk. Khoirul Bariyyah dan bayinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azmi, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat manakala Abdul Rahim dan seorang lagi anak yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE