Saya ada mendapat wang bantuan daripada pihak sekolah. Saya gunakan wang itu untuk membeli telefon. Dengan telefon itu, saya tengok benda maksiat. Sekarang baru saya sedar perbuatan itu salah. Adakah saya perlu menggantikan wang sekolah itu atau bertaubat?
JAWAPAN:
Islam merupakan agama yang menyuruh kepada perkara makruf (baik) dan mencegah daripada perbuatan mungkar (jahat).
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 110: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
Imam Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah menyifatkan umat Islam sebagai golongan yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar dan mereka dipuji disebabkan itu.
Antara isi penting daripada tafsiran ayat ini ialah perkara yang mungkar perlulah dijauhi dan ditegah kerana ia merupakan tanda-tanda orang beriman.
Menjawab persoalan diajukan, wang bantuan diberikan oleh pihak sekolah itu merupakan amanah oleh pihak tertentu untuk diberi kepada penerima yang layak.
Oleh demikian, wang bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah tersebut perlulah digunakan sebaiknya dan tidak digunakan untuk perkara tidak berfaedah serta haram di sisi agama seperti membeli rokok, ‘vape’ atau berjudi dan sebagainya.
Adapun berkenaan penggunaan wang bantuan tersebut untuk membeli telefon bimbit tidak menjadi masalah jika ia satu keperluan.
Namun, pelaku yang melihat perkara haram dan maksiat menggunakan telefon perlulah bertaubat daripada perbuatan tersebut serta tidak mengulanginya lagi. Ini kerana, dikhuatiri keberkatan akan hilang dan mendapat kesan buruk yang tertentu.
Pelaku tidak perlu menggantikan wang tersebut disebabkan kesempitan yang dihadapi tetapi harus menyesal atas perbuatan melihat maksiat.
Firman Allah dalam al-Quran maksudnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah dilakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya).”
Jadi, setelah mengetahui perbuatan menggunakan sesuatu pemberian seperti wang bantuan untuk melakukan maksiat adalah salah, maka si pelaku perlulah segera bertaubat dan mengharapkan pengampunan daripada Allah.
Si pelaku tidak perlu memulang atau menggantikan wang bantuan tersebut disebabkan masalah kekangan serta kesempitan dihadapi.