LONDON – Hilang naluri menjaringkan gol jelas menimbulkan rasa kurang senang buat pengendali Manchester United, Erik Ten Hag selepas diikat 1-1 oleh Crystal Palace di Selhurst Park, awal pagi semalam.
The Red Devils berjaya menguasai permainan pada babak pertama hingga memperoleh gol pembukaan menerusi Bruno Fernandes, namun selepas itu United dilihat mula mengendurkan asakan hingga memberi ruang kepada tuan rumah melakukan tekanan.
Usaha keras dilakukan Palace membuahkan hasil apabila Michael Olise meledak gol penyamaan pada masa kecederaan sambil Ten Hag menyifatkan gol itu tidak patut berlaku.
“Kami melepaskan dua mata berharga ketika kemenangan hanya dipisahkan dua minit dengan wisel penamat. Palace tidak mencipta apa-apa ancaman kecuali satu daripada sepakan penjuru dan satu lagi menerusi sepakan percuma jarak jauh.
“Tidak pernah jangka kami akan hilang mata dan kami sebenarnya patut melakukan lebih lagi untuk dapatkan gol kedua, namun situasinya tidak berpihak kepada kami untuk melengkapkan mata maksimum.
“Di babak kedua, kami memiliki ruang untuk segera mematikan perlawanan, namun saya tidak lihat kami begitu mahukan gol kedua. Agak sukar untuk katakan kenapa ia boleh berlaku dan saya perlu mengkritik pasukan saya,” kata Ten Hag.
Keputusan ini menyaksikan United berada dalam keadaan sukar menjelang pertemuan dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal di tempat lawan, awal pagi Isnin ini dan tidak boleh tewas untuk kekal jadi pencabar kejuaraan.
Mereka juga bakal turun menentang The Gunners tanpa khidmat Casemiro yang mengumpul kad kuning maksimum selepas dilayangkan kad berkenaan ketika mengasari Wilfred Zaha pada lewat permainan. – AGENSI