PETALING JAYA – Lebih 300 gerai beroperasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) Plus kini menerima pembayaran tanpa tunai iaitu kad Debit, kad Kredit, GrabPay, Touch ‘n Go e-Wallet (e-Dompet), Boost, MAE, Setel, ShopeePay dan MPay.
Ketua Pegawai Komersial Plus, Christine Liew berkata, langkah itu bagi memberi kemudahan dan ganjaran lebih bermanfaat kepada pengguna lebuh raya selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menerima dan menggunakan pembayaran tanpa tunai.
“Sejak setahun lalu, GrabPay, Touch ‘n Go e-Wallet, Boost dan ShopeePay merupakan antara rakan kongsi Plus yang terawal menawarkan ganjaran pulangan tunai kepada pengguna kami di R&R.
”Selain itu, bagi menggalakkan lebih ramai pengguna lebuh raya untuk mengamalkan pembayaran tanpa tunai di R&R Plus, MyDebit telah melancarkan peraduan “Wave & Menang” bermula dari 1 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023.
“Pengguna kami berpeluang memenangi hadiah keseluruhan RM70,000 dengan hanya perlu berbelanja minimum RM5 dengan kad Debit mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, aplikasi Setel juga menawarkan ganjaran pulangan tunai kepada pengguna di R&R yang berbelanja minimum sebanyak RM5 dan memperoleh RM2 pulangan tunai dari 16 Januari 2023 hingga 28 Februari 2023.
“Setel juga memberikan pulangan tunai sebanyak RM5 kepada orang ramai yang menambah nilai minimum RM50 pada akaun Setel mereka.
“Pelbagai promosi dan aktiviti akan dijalankan pada tahun 2023 bersama rakan kongsi pembayaran yang lain seperti MAE, Visa dan Mastercard untuk memberikan pengalaman pembayaran tanpa tunai yang bermanfaat kepada semua pengguna lebuh raya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE