fbpx

3 juta kenderaan masuk P. Pinang sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang menjangkakan kira-kira tiga juta kenderaan atau hampir 300,000 kenderaan sehari akan memasuki ke negeri ini sepanjang 10 hari Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina sehingga 27 Januari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya bersabar dan lebih berhati-hati semasa di jalan raya bagi mengelak sebarang kemalangan berlaku ketika kesesakan.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran operasi itu pula, seramai 125 orang pegawai dan anggota polis di negeri ini akan digerakkan untuk bertugas dengan dibantu beberapa agensi penguatkuasaan lain.

“Kita juga telah mengenal pasti tujuh lokasi ‘hotspot’ kemalangan jalan raya atau kemalangan maut. Ini termasuklah Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara (SPU), Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Jalan Besar Simpang Empat di Kilometer 12 hingga Kilometer 32 di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Turut dikenal pasti adalah di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu/Jalan Ayer Hitam dan Jalan Ayer Hitam-Paya Terubong di daerah Timur Laut serta Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr. Awang di Barat Daya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melancarkan program ‘Walkabout & Advokasi Op Selamat 19’ sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Taman Selamat, di sini hari ini.

Antara enam kesalahan utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya berdasarkan statistik Op Selamat sebelum ini adalah memandu melebihi had laju yang dibenarkan, tidak mematuhi lampu isyarat dan memotong barisan.

Kesalahan lain adalah memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily memberitahu, pihaknya turut memperkenalkan semula Op Payung yang memfokuskan kepada ‘omnipresence’ iaitu kehadiran pegawai dan anggota polis yang akan memberikan respon serta bantuan segera terhadap kemalangan yang berlaku di kawasan hitam atau ‘black spot’.

Katanya, lokasi Op Payung itu telah dikenal pasti di setiap daerah iaitu Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di Timur Laut, Jalan Teluk Air Tawar (SPU), Jalan Baru Perai (SPT), Jalan Bukit Tambun (SPS) dan Jalan Mayang Pasir di Barat Daya.

“Justeru, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar mengutamakan aspek keselamatan pemanduan dan mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

“Pada masa sama, pastikan keadaan fizikal diri dan kenderaan berada dalam kondisi yang terbaik selain rancang jadual perjalanan untuk mengelak kesesakan lalu lintas serta memandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana ingin sampai ke destinasi dengan cepat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI