PUTRAJAYA – Seorang ibu muda yang disyaki menekup muka anak kandung lelakinya menggunakan bantal hingga menyebabkan kematian di sebuah unit kondominium di Cyberjaya dalam satu kejadian pada 12 Januari lalu akan dituduh di Mahkamah Sepang, esok.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, wanita berusia 20 tahun dan bekerja sebagai kerani pejabat itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Wanita terbabit dituduh di Mahkamah Sepang esok, manakala suaminya dibebaskan kerana tiada kaitan dan kekasih wanita itu dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu Kosmo! Online hari ini, melaporkan seorang ibu muda bersama kekasih direman selama seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia setahun enam bulan di sebuah kondominium di Cyberjaya, 12 Januari lalu.
Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan Hospital Cyberjaya memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar oleh ibu kandungnya, kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah anak mata kanak-kanak terbabit berkemungkinan disebabkan penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal.
Bagaimanapun katanya, pada 15 Januari, pegawai perubatan Hospital Cyberjaya telah menghubungi pihak polis pada pukul 8.03 pagi memberitahu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.
Tambah beliau, hasil soal siasat mendapat ibu mangsa mengaku terlibat dalam kes tersebut dengan cara menekup muka anaknya dengan bantal yang ketika itu sedang tidur sehingga lemas kerana berada dalam keadaan yang sangat tertekan ekoran masalah dengan suami dan keluarga.- KOSMO! ONLINE