fbpx

Teruskan projek pembangunan telah dibentang – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL Sabri (kiri) memakaikan pangkat kepada anggota APM pada majlis perasmian Pusat Kawalan Operasi Daerah Bera di Bera hari ini.

BERA – Semua projek pembangunan yang dibentangkan dalam Bajet 2023 tahun lalu yang menjurus kepada kepentingan rakyat sewajarnya diteruskan kerajaan sekarang menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang pada Februari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, justeru beliau berharap semua bajet yang dibentangkan itu diluluskan tanpa sebarang pindaan yang mengurangkan manfaat kepada rakyat.

“Saya harap bajet yang telah dibentangkan tahun lepas diluluskan tanpa sebarang pindaan atau kalau ada penambahbaikan itu lebih banyak lagi.

“Setakat hari ini, saya tengok, banyak bajet-bajet yang kita luluskan sebelum ini diteruskan. Sebagai contoh, Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang saya umumkan akan dibayar dan diteruskan walaupun ditukar nama kepada Sumbangan Tunai Rahmah,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Kawalan Operasi Daerah Bera (PKOD), di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan tahun lalu banyak memfokuskan kepada projek-projek khusus untuk kepentingan rakyat.

Justeru katanya, tidak kira apa projek sekali pun asalkan ia demi kepentingan rakyat diharap dapat diteruskan kerajaan hari ini.

“Banyak projek-projek lain yang boleh diteruskan termasuk program perumahan 1 Keluarga 1 Rumah yang telah diluluskan sebelum ini memandangkan isu perumahan merupakan salah satu isu besar yang perlu ditangani oleh kerajaan,”katanya.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSU) supaya membuat kajian semula mengenai gred pangkat atau gred di bawah pasukan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) seperti yang telah diluluskan kabinet sebelum ini.

Katanya ini penting memandangkan gred bagi pegawai APM Daerah masih rendah iaitu pada gred KP26 dan KP29.

“Gred ini masih jauh berbezanya dengan jabatan-jabatan lain berbanding pegawai peringkat daerah sedangkan tugas APM ini sangat besar dari terutamanya dari segi menyelamat, banjir, kemalangan dan sebagainya.

“Jika berdasarkan daerah, sebagai contoh di Bera ini, adalah sebuah daerah yang besar, tetapi pegawai masih gred yang rendah tetapi tugas tidak setara dengan tugas yang dilaksanakan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI