PASIR PUTEH – Penduduk Kampung Cherang Tuli di sini terpaksa menahan bau busuk ketika melalui jalan alternatif di Taman Perumahan Yaakub Samba menghala ke jalan utama Cherang Tuli yang berpunca daripada pembuangan sampah.
Kegiatan yang dilakukan sejak setahun lalu itu bukan dilakukan orang luar, sebaliknya segelintir penduduk sendiri yang membuang sampah di lokasi tersebut.
Seorang penduduk, Mohamad Asri Abdullah, 61, berkata, bau busuk dari kawasan tanah lot persendirian itu juga menjadi lubuk kepada anjing liar dan babi hutan mencari makanan.
“Sampah sepatutnya dibuang ke dalam tong yang disediakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), bukannya menjadikan tempat itu sebagai tapak pelupusan sampah haram.
“Saya kesal dengan segelintir penduduk yang malas membuang sampah ke dalam tong yang disediakan di jalan utama.
“Tindakan itu menyebabkan penduduk terpaksa menghidu bau busuk dan menahan rasa loya ketika melalui jalan berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Mohamad Asri mendakwa, lebih menjijikkan apabila sisa buangan sampah bergelimpangan di tepi jalan dipercayai diselongkar oleh anjing liar dan disondol babi hutan.
Penduduk, Kamarudin Ismail, 50, berkata, MDPP perlu menyediakan sebuah tong yang lebih dekat terutamanya di kawasan Taman Perumahan Yaakub Samba bagi membolehkan mereka membuang sampah di tempat yang sepatutnya.
Katanya, meskipun kes pembuangan sampah itu sudah acap kali tular di media sosial, namun masalah itu gagal diselesaikan oleh pihak berwajib.
“Kami terpaksa ambil inisiatif sendiri dengan membakar longgokan sampah itu bagi mengelakkan ia terus bertimbun,” ujarnya.
Ketua Unit Perlesenan dan Kesihatan Persekitaran MDPP, Mohd. Haqqul Mubin Othman ketika dihubungi pula berkata, tempat pembuangan sampah haram itu bukan lokasi sesuai untuk diletakkan tong sampah kerana kenderaan kompaktor sukar memasuki laluan berkenaan.
“MDPP sebenarnya telah menyediakan tong sampah di jalan utama di kampung itu, jadi buang sampah di situ,” katanya.