fbpx

Tambang bas Manjung ke KL naik tiga kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail orang ramai menggunakan perkhidmatan bas di Stesen Bas Manjung untuk ke ibu kota dan Selangor.

LUMUT – Tambang bas ekspres dari daerah Manjung ke Lembah Klang didapati meningkat sehingga tiga kali ganda bagi perjalanan hingga Sabtu ini.

Semakan terhadap tempahan tiket dalam talian sebuah syarikat pengendali bas ekspres po­pular di sini mendapati harga tiket sehala bagi seorang penumpang ialah RM100 bagi empat hari tersebut berbanding harga biasa RM35.

Ia untuk perjalanan dari sini ke Shah Alam dan Klang di Selangor serta Hentian Duta dan Terminal Bersepadu Selatan di ibu negara.

Harga tiket tersebut bagaimanapun kembali pada kadar asal RM35 seorang sehala bagi perjalanan pada Ahad ini.

Penganalisis pengangkutan, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar, menyatakan rasa terkejut de­ngan kenaikan harga sehingga tiga kali ganda sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu.

“Kita faham kalau ‘peak season’ (waktu puncak) ada surcaj, jika surcaj dalam 30 peratus adalah boleh diterima, tetapi bukan tiga kali ganda.

“Saya pernah beli tiket dari Sitiawan ke Shah Alam pada 17 Disember lalu, harga tiket beserta insuran baru berharga RM38 lebih,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, bekas Penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) itu berharap pihak syarikat bas tersebut dapat memberi penjelasan berhubung perkara itu bagi menghilangkan kegelisahan dan kegusaran orang ramai.

Beliau juga berharap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dapat memberi maklum balas terhadap isu tersebut.

Sementara itu, usaha wartawan untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat bas tersebut tidak berjaya apabila nombor telefon ibu pejabat syarikat itu di negeri ini ketika dihubungi tidak berjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI