fbpx

‘Tak sangka jenazah anak yang sambut kepulangan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis menguruskan mayat mangsa yang ditemui lemas di Sungai Hulu, Paka di Dungun petang kelmarin.

DUNGUN – Hasrat bapa pelajar kolej untuk bertemu anak bongsunya tidak kesampaian apabila mangsa ditemui mati lemas di Sungai Hulu Paka di sini kelmarin.

Roslan Sidek, 59, berkata, dia yang bekerja sebagai jurukimpal di Johor Bahru berjanji pulang ke rumah di Kampung Gong Gemia, Paka di sini untuk berjumpa de­ngan arwah anaknya, Muhammad Zuhaily, 21, selewat-lewatnya pada hujung minggu ini.

“Arwah anak (Muhammad Zuhaily) sedang bercuti dan akan memulakan latihan amali di Kuala Lumpur pada 23 Januari ini.

“Dia ada menghubungi saya beritahu rindu dan mahu berjumpa sebelum berangkat ke ibu negara pada Ahad ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Roslan memberitahu, kali terakhir dia bertemu arwah Muhammad Zuhaily yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik pada awal bulan ini.

“Tidak sangka yang me­nyambut kepulangan saya di rumah semalam (kelmarin) cuma sekujur jenazahnya.

“Rindu yang terpendam cuma dapat dilepaskan apabila menatap wajah anak yang sudah tidak bernyawa buat kali terakhir,” katanya.

Tambah Roslan, walaupun anak bongsu, arwah seorang anak yang berdikari dan tidak pernah menyusahkan keluarga.

Arwah Muhammad Zuhaily bekerja sambilan di restoran untuk mengumpul wang sebagai persediaan menjalani latihan praktikal di Kuala Lumpur.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar lemas selepas tergelincir ketika menjala ikan bersama rakannya di Sungai Hulu Paka berhampiran Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Mayat pelajar sebuah kolej di Negeri Sembilan itu dijumpai di dasar sungai pada kedalaman lima meter berhampiran lokasi kejadian pada pukul 2.15 petang kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI