KOTA BHARU – Seorang ibu tunggal hanya mampu terlantar di atas katil di rumahnya di Kampung Belukar, Kedai Piah di sini sejak dua tahun lalu akibat menderita masalah kulit berkudis.
Murlinda Mohd. Zin, 49, berkata, keadaannya makin kritikal sejak lima bulan lalu apabila kudis yang pada awalnya berada kawasan paha telah merebak ke seluruh badan.
Keadaan itu menyebabkan Murlinda tidak boleh bergerak dan menguruskan diri.
Dia kini dijaga ibunya, Zainab Shafian, 69, dengan bantuan adik-beradik lain.
Menurut Zainab, selepas bertemu pakar perubatan Islam, keluarganya dimaklumkan bahawa penyakit yang dialami Murlinda itu mungkin akibat disihir.
“Pada awalnya, kedua-dua paha Murlinda kelihatan seperti melecur sebelum menjadi kudis. Selepas menjalani rawatan di klinik, kudis itu semakin merebak ke seluruh anggota badan.
“Kami kemudian membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Zainab, doktor di HRPZ II memaklumkan bahawa anaknya menghidap penyakit eksim atau dermatitis yang merupakan reaksi alergi pada kulit yang menyebabkan kulit menjadi kemerahan, gatal, kulit menjadi kering, hingga rasa terbakar.
Katanya, Murlinda memerlukan perbelanjaan sebanyak sebanyak RM2,000 sebulan untuk membeli susu, keperluan peralatan mencuci kudis dan bayaran rawatan di klinik.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Murlinda 0302141100012877 atau hubungi Zainab di talian 012-983 4866.