PETALING JAYA – Ramai graduan perubatan Malaysia mengintai peluang kerjaya di luar negara kerana mempunyai persepsi tiada masa depan menjadi doktor pakar di negara ini.
Presiden Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU), Prof. Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, kebanyakan doktor muda merungut tiada hala tuju laluan kerjaya dan sistem kontrak ditawarkan masih tidak jelas dan tiada ketelusan.
“Ini sekali gus menjadi faktor graduan perubatan atau doktor pakar memilih keluar daripada perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berhijrah ke luar negara yang menawarkan peluang lebih luas menjadi doktor pakar.
“Golongan itu tertarik untuk berkhidmat di luar berikutan tawaran gaji dan kerjaya yang lebih jelas seperti di Singapura dan ada juga graduan tempatan membina kerjaya di beberapa negara lain seperti Australia, United Kingdom dan Ireland.
“Kemungkinan penghijrahan bukan disebabkan faktor kewangan atau peluang kerja semata-mata, sebaliknya tekanan emosi, psikologi, mengalami burn-out, bosan dengan persekitaran kerja tidak positif atau menanggung beban kerja bukan klinikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jafri Malin berkata, penghijrahan golongan doktor dan kakitangan perubatan tempatan ke luar negara adalah kerugian besar buat negara dalam aspek wang dan modal insan.
Justeru, katanya, perlu ada kajian menyeluruh untuk memahami isu penghijrahan doktor serta mengenal pasti secara terperinci dan objektif permasalahan sebenar.
“Kerajaan perlu melaksanakan pembangunan modal insan terhadap sistem perubatan dengan tidak menganggap peruntukan dikeluarkan kerajaan satu perbelanjaan yang tidak menguntungkan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, PADU menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, berhubung tawaran 4,914 jawatan tetap tahun ini terdiri daripada 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 bagi pegawai farmasi.
“Ia adalah satu langkah besar ke arah yang betul bertujuan menyelesaikan masalah jawatan tetap doktor kontrak,” katanya. – KOSMO! ONLINE