WELLINGTON – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengejutkan seluruh negara itu hari ini dengan mengumumkan peletakan jawatannya yang akan berkuat kuasa dalam beberapa minggu akan datang.
Pemimpin wanita berusia 42 tahun yang telah mengetuai negara itu ketika beberapa krisis seperti Covid-19 dan serangan pengganas terburuk, memaklumkan bahawa alasan kepada tindakannya itu adalah kerana beliau tidak lagi ‘mempunyai sokongan yang kuat’.
“Saya hanya manusia biasa. Kita memberikan sebanyak yang boleh dan selama mana yang mampu namun, masanya akan berakhir. Bagi saya, inilah masanya,” kata Ardern dalam satu mesyuarat dengan ahli-ahli Parti Buruh.
Menurut Ardern, beliau akan meletak jawatan selewat-lewatnya 7 Februari depan, kurang tiga tahun selepas memenangi pilihan raya yang melayakkannya memegang tampuk kepimpinan untuk penggal kedua.
Sejak 2020, kerajaan pimpinan Ardern bergelut untuk mempertahankan populariti dalam kalangan rakyat ketika negara itu dilanda pelbagai krisis termasuk inflasi, kegawatan ekonomi dan kebangkitan semula pembangkang konservatif.
“Saya percaya bahawa mengetuai sesebuah negara merupakan satu tugas yang paling penting seseorang itu boleh lakukan, namun ia juga paling mencabar.
“Anda tidak boleh dan tidak seharusnya melakukannya melainkan menerima sokongan penuh selain perlu berdepan dengan pelbagai cabaran,” jelasnya.
Penduduk New Zealand sebelum ini dijadualkan bakal mendapat perdana menteri baharu ketika pilihan raya umum diadakan pada 14 Oktober depan.
Sehingga tempoh itu, Ardern akan terus berkhidmat sebagai ahli parlimen yang diundi.
Sebelum peletakan jawatan Ardern berkuat kuasa, perwakilan Parti Buruh akan mengundi untuk memilih pemimpin baharu pada 22 Januari ini.
“Saya membuat keputusan untuk menarik diri bukan kerana saya percaya kita (Parti Buruh) tidak boleh memenangi pilihan raya akan datang, namun kerana saya percaya kita boleh dan akan (menang),” ujarnya. – AFP