fbpx

[VIDEO] Piala Dunia: Faizal dedikasi gol buat arwah ayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL (kanan) muncul wira Malaysia apabila meledak dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas New Zealand di Stadium Kalinga sebentar tadi. - FARIZ RUSADIO

BHUBANESWAR – Wira Malaysia, Faizal Saari mendedikasikan gol kemenangan 3-2 ke atas New Zealand dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Kalinga sebentar tadi buat arwah ayahnya, Saari Zakaria.

Kemenangan itu amat berharga kerana ia mengesahkan status Malaysia sebagai naib juara Kumpulan C dan membolehkan bertemu pasukan tempat ketiga Kumpulan D di peringkat cross over nanti.

“Gol ini sangat bermakna kerana hari lahir saya dalam bulan ini (13 Januari). Semalam juga hari lahir arwah ayah saya, kalau dia ada sudah tentu dia sangat gembira hari ini,” kata Faizal.

Dalam masa sama, penyerang prolifik kebangsaan itu gembira kerana dua golnya membantu kemenangan pasukan sekali gus meningkatkan semangat rakan sepasukan menghadapi aksi cross over nanti.

“Ia satu perasaan yang hebat apabila anda berjaya menjaringkan gol dan mencatat kemenangan. Saya anggap pencapaian saya hari ini adalah bonus buat diri sendiri,” jelasnya.

Menariknya, Faizal, 32, jugalah pemain yang meledak gol pertama buat Malaysia selepas menerima hantaran Shello Silverius pada minit kesembilan sebelum dia menghasilkan jaringan kemenangan pada minit ke-57.

Satu lagi gol skuad bimbingan A. Arul Selvaraj dalam aksi itu dijaringkan oleh Muhammad Razie Abd. Rahim selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-43.

New Zealand pula terpaksa akur dengan kekalahan tersebut biarpun berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh seminit menerusi Hayden Phillips dan Sam Lane pada minit ke-52 serta 53.

Ini adalah kali pertama Malaysia berjaya merekodkan dua kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan di pentas Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya sewaktu edisi 2002 di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI