SERDANG – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang selepas solat Jumaat lalu kini dipercayai berada di sekitar Tampoi, Johor.
Bukan itu sahaja, pihak polis turut menemui motosikal jenis Yamaha LC135 milik pelajar tersebut di ruangan parkir Terminal Bersepadu Selatan (TBS), hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, A. A Anbalagan berkata, keberadaan Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22 yang dilaporkan hilang, dikesan selepas transaksi kad debit miliknya dilakukan di Tampoi.
“Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di beberapa premis daerah berkenaan, pelajar tersebut dilihat ada bersama seorang individu lain dipercayai rakannya.
“Polis juga berjaya menemui motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki pelajar itu sebelum hilang ditinggalkan di TBS, sebentar tadi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat Ke-19 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar UPM dilaporkan hilang selepas pergi solat Jumaat dengan menunggang motosikal.
Anbalagan dipetik berkata, ayah pelajar berkenaan menghubungi anaknya untuk bertanyakan khabar tentang kehidupan seharian di UPM pada pukul 9 pagi Jumaat lalu, namun tiada sebarang jawapan.
Katanya, rakan sebilik Mohd Irfan memaklumkan kali terakhir dilihat adalah semasa dia pergi solat Jumaat dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC135.
Sehingga kini, Mohd Irfan masih belum pulang ke rumah atau balik ke bilik penginapan di UPM serta masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga. – KOSMO! ONLINE.