fbpx

Orang kaya ‘rembat’ hak orang miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Dalam Islam, orang kaya bertanggungjawab membantu orang miskin dan berkongsi kekayaan itu dengan mereka supaya harta itu tidak berlegar-legar dalam kalangan orang kaya sahaja.

Bagaimanapun, sejak dahulu hingga sekarang, masih terdapat lagi orang kaya yang suka ‘rembat’ hak orang miskin, malah isu itu semakin menjadi-jadi.

Bermacam-macam taktik digunakan untuk mendapat bantuan kewangan serta kemudahan yang disediakan pihak berkuasa agama dan kerajaan secara percuma.

Baru-baru ini Kosmo! juga melaporkan, ada masyarakat yang ingin mendapatkan bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sanggup menyamar sebagai asnaf.

Sedangkan, mereka memiliki pelbagai harta termasuk kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi. Ada juga pemohon tinggal di kondominium dan memiliki perniagaan, tetapi sanggup menipu kononnya sedang mengalami kesempitan hidup.

Selain bantuan Baitulmal, terdapat segelintir ibu bapa yang sanggup menipu data permohonan kemasukan anak ke prasekolah semata-mata mahu menikmati kemudahan percuma.

Jika dihantar ke tadika swasta, yuran bulanan pastinya melebihi RM200 seorang, manakala prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan pula menawarkan pendidikan percuma termasuk makan minum turut disediakan.

Penubuhan prasekolah antara lain membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah memasuki alam persekolahan lebih awal.

Namun, tindakan memanipulasi data permohonan terutama mereka yang mempunyai perniagaan kononnya berpendapatan rendah menyebabkan anak mereka diterima masuk ke prasekolah.

Akibatnya, anak-anak orang miskin pula gagal mendapat tempat disebabkan kuota yang terhad.

Apabila anak-anak pulang dari sekolah, maka tidak hairanlah ada ibu bapa yang mengambil mereka dengan menaiki kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire, BMW dan Mercedes-Benz.

Kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga sering menjadi sasaran sebahagian golongan berduit untuk tinggal di situ kerana kadar sewa yang rendah, tidak sampai RM200 sebulan.

Mungkin sebelum ini penyewa terbabit hidup susah, tetapi setelah rajin berniaga atau mendapat pekerjaan lebih baik, mereka dapat hidup senang.

Jika sudah berduit, kediaman itu sepatutnya diserahkan kepada ramai lagi orang miskin di ibu kota yang terpaksa menyewa rumah lain dengan bayaran lebih tinggi sementara menunggu kekosongan PPR.

Ini adalah sebahagian taktik yang dilakukan segelintir orang kaya, banyak lagi hak orang miskin ‘dikebas’ mereka melalui pelbagai cara.

Jangan jadi seperti gelandangan yang digelar ‘Mat Berat’, zahirnya nampak merempat, tetapi hidup senang di Kuala Lumpur dengan memiliki rumah, kereta dan ada yang mempunyai simpanan RM100,000.

Semuanya kerana pandai berlakon hidup susah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI