SEPANG – Selepas berbulan-bulan menanggung azab diseksa dan dikurung dalam bilik gelap, seorang mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar bersyukur apabila dapat kembali ke tanah air.
Lebih manis, kepulangan remaja Cina itu disambut oleh ibunya selepas tiga tahun tidak bertemu sekali gus menjadi hadiah paling bermakna sempena Tahun Baharu Cina, kali ini.
Mangsa yang berusia 19 tahun itu kelihatan sebak apabila dipeluk erat ibunya yang juga merupakan ibu tunggal berusia 46 tahun, selepas kali terakhir dapat menghubungi wanita itu pada Mac tahun lalu.
“Saya sedih dan tiada selera makan kerana risau apabila anak bongsu saya ini beritahu dia terjebak jadi mangsa ‘scam’ di Myanmar,” kata ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Ng.
Ketibaan remaja tersebut bersama seorang lagi mangsa dengan menaiki pesawat Thai Airways penerbangan TG415 itu diraikan oleh Exco Kerajaan Pahang, Sim Chong Siang yang bertanggungjawab atas pembebasan mereka.
Remaja itu yang mahu dikenali sebagai Chang merupakan antara dua mangsa yang dapat kembali ke tanah air setelah terkandas lama di Bangkok, Thailand, ekoran masalah dokumentasi perjalanan.
Mereka sepatutnya tiba di negara ini kelmarin bersama-sama tiga lagi mangsa lain, namun akhirnya berjaya tiba hari ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Mengulas lanjut, Ng yang bekerja sebagai pengasuh berkata, dia terpisah dengan anaknya itu lebih tiga tahun lalu selepas mangsa bekerja di Kuala Lumpur sebaik tamat sekolah menengah.
“Selepas bercerai 10 tahun lalu, saya dan dua anak tinggal dalam bilik kecil di rumah abang di Seremban, Negeri Sembilan, dan Chang mencuba nasib merantau mencari pekerjaan di ibu kota manakala anak sulung melanjutkan pengajian di sebuah universiti awam di Sabah.
“Dia malangnya terjerat menjadi mangsa ‘scam’ apabila ditipu oleh seorang rakannya pada Januari tahun lalu apabila dibawa masuk ke Myanmar meskipun tidak memiliki pasport,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang cuma ingin dikenali sebagai Maniam berusia 24 tahun memaklumkan bahawa mereka telah dipaksa bekerja menipu secara online di KK Garden, Myanmar lebih setahun lalu.- KOSMO! ONLINE