KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas anak kandungnya pada dua minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 40 tahun membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berumur 13 tahun 10 bulan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di daerah Dungun pada pukul 10.15 pagi, 6 Januari lalu.
Dia didakwa di mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh. – KOSMO! ONLINE.