PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa konsep Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau dirangka sebagai ikhtiar bagi memetakan strategi mentadbir negara dengan lebih berkesan.
Anwar berkata, negara serta peradaban yang dicitakan dan akan dibangunkan kelak haruslah Mampan, Sejahtera, Berdaya cipta, Saling menghormati, punyai Keyakinan dan bersifat Insan (Madani).
Ujar beliau, istilah Madani mungkin dianggap baharu namun sebenarnya tidak kerana ia telah lama disebutkan oleh pemikir namun diperkenalkan semula dan dihebahkan kerana konsep berkenaan menekankan soal keyakinan juga kemanusiaan.
“Pembuat dasar dan pucuk pimpinan kementerian dan agensi-agensi negara sememangnya ingin tahu ke manakah hala tuju Kerajaan Perpaduan pada thun 2023 dan selepasnya.
“Kita perlu melihat kepada kenyataan global pada hari ini. Dalam dunia yang serba tidak menentu, ditandai dengan kerumitan, percanggahan, kekacauan dan keserentakan, suatu kerangka strategik yang komprehensif harus dibangunkan untuk mengemudi negara menempuh zaman yang ditakrifkan sebagai pascanormal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Tambah Anwar, sudah tiba masanya untuk menamatkan salah ukur kemajuan manusia dengan pertumbuhan ekonomi semata-mata malah kadar pengangguran juga tidak boleh dilihat dari segi perangkaan sahaja kerana ia tidak menggambarkan kesengsaraan dan penderitaan sebenar kemiskinan dialami rakyat.
“Pertumbuhan dan pengembangan perlu dicapai dalam konteks lebih luas yakni ekonomi manusiawi yang mengutamakan keperluan rakyat, khususnya yang miskin dan terpinggir, yang membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme tidak terkawal.
“Saya percaya tema ini bukan sahaja masih relevan bahkan mustahak sebagai pendekatan menyeluruh demi negara mencapai pertumbuhan ekonomi lestari yang juga prihatin rakyat dari segi rohani dan jasmani,” ujar beliau.
Tambah Perdana Menteri, dengan mandat yang jelas, keabsahan yang teguh, didukung oleh majoriti yang cukup besar ahli-ahli Dewan Rakyat yang mengangkat Kerajaan Perpaduan, beliau akan membawakan sebuah hala tuju baharu yang akan memandu seluruh jentera Kerajaan serta rakyat Malaysia.– KOSMO! ONLINE.