BUAT patung-patung hantu, si Annabelle mahupun Chucky, kalian ada saingan baharu yang sangat luar biasa dampaknya bernama M3GAN.
M3GAN hasil harapan sutradara, Gerard Johnstone memberi dimensi hebat terhadap karya-karya ‘bertemakan’ patung menyeramkan.
Penulis sempat menghabiskan durasi 102 minit menyaksikan naskhah tersebut dan hasilnya memang langsung tidak mengecewakan.
Pujian harus diberikan kepada produksi yang berjaya menterjemah atau memperkenalkan karakter M3GAN dengan cemerlang.
Plot atau naratif M3GAN atau nama sebenarnya, Model 3 Generative Android diadun dalam acuan sempurna bersama elemen ‘campy’ dengan suntikan nilai lelucon dan seram.
Permulaan cerita agak perlahan, namun apabila M3GAN ‘beremosi’, di situlah titik mula betapa filem berkenaan cukup rencahnya.
Robot tersebut membuatkan deras adrenalin penulis di bangku penonton bergejolak naik turun, kiri kanan, ke depan dan ke belakang. Daripada robot semanis madu, M3GAN bertukar menjadi robot pembunuh yang sangat celaka.
Renungan matanya sahaja mampu menikam dan membuatkan bulu roma berdiri tegak. Lebih hebat berbanding saat menonton Annabelle dan Chucky.
Fizikal M3GAN saling tak tumpah seperti manusia biasa dan permainan emosinya membuatkan setiap penonton tidak senang duduk.
Mereka di belakang tabir yang berjaya mewujudkan penampilan atau fizikal M3GAN selayaknya diberi kenaikan gaji!
Watak M3GAN yang dijayakan dua figura iaitu pelakon cilik, Amie Donald secara fizikal dan pelakon, Jenna Davis sebagai pemain suara sangat berkesan.
Sungguhpun begitu, apa yang kurang menepati cita rasa penulis apabila naskhah berkenaan terasa terlalu singkat, sedangkan banyak perkara yang perlu diberikan pengenalan kepada audiens.
Dari situ, timbul kepercayaan bahawa kisah M3GAN tidak akan berakhir dengan hanya sebuah karya. Pasti akan ada sambungan kisahnya dalam projek akan datang.
Jika tiada sekuel, memang M3GAN mengamuk dan ‘serang’ rumah pengarah (sekadar gurauan).
Sama ada naskhah sesuai untuk golongan kanak-kanak, sengaja dinyatakan di sini bahawa ada banyak babak ganas yang kurang bersesuaian dengan golongan sedemikian.
Perlu diingatkan, kerja M3GAN adalah membunuh dan terdapat banyak adegan ‘terkoyak’ sana sini serta pertumpahan darah. Dari segi rating, penulis berani memberikan markah lebih 80/100.
Semuanya menghiburkan dan ‘spooky’. Kalau antara kalian yang fobia dengan patung, fikir dua kali untuk menonton. M3GAN memang patung robot celaka yang bikin orang mengigau dalam tidur!.