KOTA BHARU – Seorang lelaki ditemui rentung selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Huda, Jalan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa berusia dalam lingkungan awal 40-an yang tidak sihat akibat kemalangan dipercayai terperangkap di dalam sebuah bilik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, seramai 14 pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.04 tengah hari.
Menurutnya, anggota bomba menjalankan kerja-kerja memadam api marak yang membakar rumah tersebut.
“Difahamkan, keluarga mangsa termasuk kedua ibu bapanya turut berada di rumah berkenaan, namun mereka sempat menyelamatkan diri.
“Api yang merebak dengan cepat menyebabkan mangsa tidak sempat keluar untuk menyelamatkan diri. Mayat mangsa yang ditemui di dalam sebuah bilik diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Zukeri, kebakaran itu turut menusnahkan 90 peratus bahagian rumah tersebut.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE.