fbpx

Lebuh raya dijangka sesak dua hari tol percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan aliran trafik di lebuh raya utama bakal sesak hujung minggu ini dan tempoh perjalanan pengguna bertambah ekoran orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, antara faktor penyumbang lain kepada kesesakan adalah pemberian tol secara percuma buat semua pengguna lebuh raya bermula esok sehingga 21 Januari, yang akan meningkatkan jumlah kenderaan dalam satu-satu masa.

“PLUS menyambut baik inisiatif kerajaan dalam pemberian tol percuma kepada rakyat yang menggunakan perkhidmatan rangkaian lebuh raya PLUS pada 20 dan 21 Januari.

“Pada masa sama, PLUS menjangkakan sebahagian besar daripada pengguna lebuh raya akan merebut peluang untuk menikmati faedah tol percuma ini dan menyusun jadual perjalanan balik kampung berdasarkan tarikh-tarikh tol percuma tersebut.

Poster keluaran PLUS buat pengguna lebuh raya.

 

“Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dan menjangkakan tempoh perjalanan di lebuh raya mungkin lebih panjang kali ini terutamanya pada dua hari istimewa itu (tol percuma),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Zakaria, dalam memastikan kelancaran trafik di lebuh raya, pihaknya mengingatkan pengguna untuk pastikan status kad Touch ‘n Go kekal aktif sebelum memulakan perjalanan.

Ia bertujuan bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol jika terdapat pengguna menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.

“Sekiranya pengguna memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go atau SmartTAG, mereka masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka di lorong tol di plaza tol untuk rekod perjalanan.

“Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.

“Sekiranya pengguna memilih untuk menggunakan RFID, mereka masih perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID yang disediakan, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet Touch ‘n Go mereka.

“Pada masa yang sama, kami mengambil peluang ini untuk menasihatkan orang ramai sekali lagi yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada dua hari tersebut supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini,” jelasnya.

Menurut Zakaria, PLUS akan mengambil langkah-langkah yang perlu dan pihaknya telahpun mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat.

“PLUS juga mengesyorkan penggunaan Aplikasi Waze atau Google Maps semasa pemanduan untuk mendapatkan status trafik terkini sepanjang musim perayaan ini,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI