PETALING JAYA – Orang ramai mula mempertikaikan keadaan laluan pejalan kaki di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah, yang dijadikan kawasan parkir motosikal.
Keadaan tersebut turut menyusahkan pengguna mahupun pesakit terutamanya yang menggunakan kerusi roda kerana tidak dapat melalui laluan berkenaan.
Menerusi ciapan @abd_jabbar di Twitter semalam, dia memuat naik sekeping gambar memaparkan seorang warga emas lelaki yang menggunakan kerusi roda tidak dapat melalui laluan pejalan kaki tersebut disebabkan ruang sempit kerana dipenuhi motosikal.
Difahamkan, laluan tersebut terletak di kawasan rehab dan fisioterapi hospital berkenaan.
“Kesiannya la pak cik ini nak lalu tak dapat disebabkan motosikal parking sesuka hati” ciapnya.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, Shaff Abdullah, memaklumkan situasi tersebut merupakan masalah lama dan masih belum ada sebarang tindakan penyelesaian.
“Masalah ini memang dah lama. Untuk motor pula, tak ada disediakan parking khas sebab itu mereka parking macam ini.
“Tambahan jumlah motor kat HSB ini agak banyak dan dekat mana boleh parking, dekat situ motor akan parking. Harap pihak HSB boleh ambil inisiatif selesaikan kedua-dua masalah ini,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Aida Aziz mencadangkan agar tindakan lebih tegas dikenakan kepada pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka pada ruang awam seperti laluan pejalan kaki kerana mengganggu kemudahan tersebut.
“Pihak hospital boleh letak notis larangan parkir atau ‘clamp’ kenderaan yang diletakkan sesuka hati sehingga menyusahkan orang lain, kalau semua tempat jadi ruang parkir, macam mana orang nak lalu dengan selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE