PUTRAJAYA – Konsep Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, dilihat sudah memenuhi dan melengkapi tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, terjemahan maksud Madani itu sendiri sudah seiring dengan aspirasi dilaksanakan kementeriannya ketika ini.
“Saya berkesempatan membaca naskah Madani lebih awal dan dalam setiap maksud Madani itu sudah ada segmen pendidikan.
“Sebenarnya rangka Madani sudah lengkap dan kita akan melengkapi ia bersama dalam gerak kerja di KPM,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 KPM di sini, hari ini.
Terdahulu, pada majlis sama, KPM turut memperkenalkan barisan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk sesi 2023-2025 dengan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai Pengerusi yang akan dibantu Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin sebagai Timbalan Pengerusi.
Fadhlina berkata, isu bebanan guru antara menjadi tumpuan utama MPPK untuk diperhalusi sebelum cadangan penyelesaian terbaik dikemukakan.
“MPPK bagi sesi 2023-2025 akan dipengerusikan Amin yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dengan dibantu gabungan mantap lapan anggota lain. – KOSMO! ONLINE