PETALING JAYA – Sebuah kedai serbaneka popular dunia yang sebelum ini dikaitkan dengan isu penampalan notis yang dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan orang kurang upaya (OKU) telah tampil membuat permohonan maaf.
Menerusi tangkap layar kiriman mesej yang dikongsikan di media sosial semalam, pihak kedai tersebut memberitahu telah menanggalkan notis berkenaan dan sedang melakukan siasatan terperinci berkaitan perkara itu.
“Satu siasatan segera dan tindakan menanggalkan notis telah dilakukan. Kakitangan di premis itu juga diberi arahan tegas untuk memastikan perkara ini tidak berulang.
“Sekali lagi, kami memohon maaf,” kata kenyataan itu.
Terdahulu tular notis di sebuah kedai serbaneka popular di NU Sentral yang dikatakan seperti menghina OKU apabila menyifatkan golongan tersebut seolah-olah pengotor.
Menerusi ciapan pengguna Twitter, Jalal Misai semalam, dia memberitahu seorang kenalannya mengirimkan gambar notis yang ditampal di atas meja kedai tersebut.
“Tolong buang sampah lepas makan, hanya OKU tak buag lepas makan,” tulisan pada notis itu.
Dalam pada itu, perkara tersebut telah mendapat kecaman hebat daripada netizen dan rata-ratanya mendesak agar tindakan sewajarnya dikenakan ke atas kedai berkenaan. – KOSMO! ONLINE.