PUTRAJAYA – Seorang jemaah umrah warga tempatan, Shaary Ahmad, 72, yang diserang strok di Madinah sejak 30 Disember lalu selamat tiba di tanah air, petang semalam.
Shaary tiba di tanah air selepas 16 hari menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di sebuah hospital swasta di Madinah.
Anak Shaary, Amar Irfan Shaary, 28, ketika ditemui berkata, dia sekeluarga berdepan kesukaran apabila terpaksa menanggung kos perubatan sebanyak RM100,000 sepanjang ayahnya berada di hospital itu.
Katanya, selepas mendapat nasihat Kedutaaan Malaysia, dia sekeluarga dinasihatkan untuk membawa pulang ayahnya pulang mendapatkan rawatan di tanah air.
“Bagaimanapun, kami berdepan kesukaran kerana terpaksa menyelesaikan dahulu kos rawatan sebelum ayah boleh dibawa pulang.
“Namun, hasil rundingan antara syarikat umrah dan rakan kerjasama mereka di Arab Saudi serta pihak hospital maka, urusan itu dipermudahkan,” katanya.
Katanya, ayahnya kini sedang di rawat di ICU Hospital Putrajaya dan keadaannya masih tidak berubah serta terpaksa bergantung dengan alat pernafasan.
Terdahulu, Amar bersama ibunya, Siti Rahmah Che Heng, 67, menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM30,000 oleh Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Mohd. Na’im ketika ditemui berkata, beliau berharap agar Shaary cepat sembuh dan dipermudahkan urusan rawatan di hospital.
“Usaha (sumbangan) ini seiring dengan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu memberi tumpuan dan usaha membantu rakyat,” katanya.
Sementara itu, Siti Rahmah berkata, dia sekeluarga berterima kasih kepada Yayasan Taqwa di atas sumbangan diberikan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan menanggung baki kos rawatan suaminya.
Katanya, dia bersama suami berlepas ke Tanah Suci pada 17 Disember lalu bagi menunaikan umrah sebelum suaminya diserang strok selepas dua hari berada di Madinah.
“Kami sekeluarga terpaksa membawa pulangnya ke tanah air kerana tidak mampu lagi menanggung kos perubatan yang tinggi di hospital itu,” katanya.-KOSMO! ONLINE.