fbpx

Ibu muda bunuh bayi selepas bermalam dengan kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Kamarul Azran

SEPANG – Seorang ibu muda direman seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia setahun enam bulan di sebuah inap desa di sebuah kondominium di Cyberjaya, 12 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan Hospital Cyberjaya memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar oleh ibu kandungnya, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah anak mata kanak-kanak terbabit berkemungkinan disebabkan penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah menjalankan siasatan awal ke atas ibu kanak-kanak terbabit.

“Dalam keterangan awal, wanita berusia 20 tahun yang bekerja sebagai kerani pejabat itu menyatakan dia membawa mangsa pergi ke inap desa yang terletak di sebuah kondominium di Cyberjaya.

“Ibu mangsa datang bersama teman lelakinya berusia 21 tahun yang juga seorang pelajar kolej dan turut menginap bersama. Ibu mangsa menyatakan mangsa telah terjatuh dari sofa ketika sedang bermain kira-kira pukul 7 malam pada 11 Januari lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sepang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul berkata, wanita terbabit telah berkahwin dua tahun yang lalu namun dalam proses penceraian dengan suaminya yang berusia 20 tahun.

Bagaimanapun, pada 15 Januari lalu, pegawai perubatan Hospital Cyberjaya telah menghubungi pihak polis pada pukul 8.03 pagi memberitahu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.

“Kita telah cuba hubungi semula ibu mangsa tetapi gagal dan wanita terbabit juga tiada di rumah seperti alamat yang diberikan, namun hasil risikan mendapati wanita itu bersembunyi di sebuah rumah flat di Putra Perdana.

“Pada 16 Januari, kira-kira pukul 12.15 pagi, sepasukan anggota telah menyerbu flat berkenaan dan berjaya menahan ibu mangsa dan suaminya. Kira-kira sejam kemudian, anggota turut menyerbu sebuah rumah di Kampung Sungai Buah, Dengkil dan menangkap teman lelaki ibu mangsa,” ujarnya.

Wan Kamarul berkata, berdasarkan soal siasat, bapa mangsa yang tidak bekerja mengaku tidak terlibat dalam kes berkenaan dan hanya mengetahui anaknya berada di hospital kerana sesak nafas selepas dimaklumkan oleh isterinya.

“Ibu mangsa mengaku terlibat dalam kes tersebut dengan cara menekup muka anaknya dengan bantal yang ketika itu sedang tidur sehingga lemas. Ibu mangsa menyatakan ketika kejadian dia berada dalam keadaan yang sangat tertekan kerana masalah dengan suami dan keluarga.

“Teman lelakinya pula tidak mengaku terlibat dan hanya datang untuk bermalam dengan wanita terbabit sahaja di homestay berkenaan. Semasa kejadian ibu mangsa menekup muka anaknya dengan bantal, teman lelakinya itu telah pulang,” katanya.

Tambah beliau, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik Hospital Serdang mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan selain kesan calar di pipi kiri serta lebam pada bawah leher bahagian kiri dipercayai dicekik.

Jelas Wan Kamarul, punca kematian adalah disebabkan asfiksia atau kekurangan oksigen iaitu tindakan ibu mangsa yang menekup muka kanak-kanak terbabit.

Katanya, ibu mangsa direman selama seminggu sehingga 22 Januari ini bersama teman lelakinya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sementara bapa mangsa direman selama sehari. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI