KAMPAR – Dua beradik berhadapan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 40.13 kilogram (kg), minggu lalu.
Tertuduh, M. Kumar, 46, dan adiknya, Govindasamy, 45, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dua beradik itu didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 20,550 gram dan 19,585 gram.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di ruang tamu dan bilik pertama di tingkat atas sebuah rumah di Jalan Seksyen 2/2, Taman Bandar Darat dekat Kampar, pada pukul 5 petang, 9 Januari 2023.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Esther Jacyntha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes tersebut sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.
Media pada 11 Januari lalu melaporkan, satu serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah teres yang dijadikan makmal memproses dadah.
Dalam serbuan pada pukul 4 petang itu, dua lelaki ditahan bersama 40.14 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, kafein (11.05kg) dan cecair disyaki dadah (4kg) dengan nilai keseluruhan RM665,782. – KOSMO! ONLINE.