fbpx

Bomba ambil sampel kebakaran enam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMI (tiga dari kiri) melawat Tokong Kwan Yin Tong di Ipoh sempena Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran hari ini.

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengambil beberapa sampel kebakaran melibatkan enam buah rumah di Jalan Bagan Ikan, Bagan Datuk Isnin lalu untuk dianalisis.

Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, sampel itu telah pun dihantar ke makmal bagi mengetahui punca sebenar kebakaran yang meragut nyawa seorang lelaki warga emas.

Katanya, keputusan analisis tersebut akan diketahui dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

“Setakat ini, siasatan di lokasi kebakaran mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui pada Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Kwan Yin Tong dekat sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 6.42 pagi itu, mangsa, Ong Chok Seng, 83, ditemui rentung setelah terperangkap di dalam bilik di rumahnya.

Dalam kebakaran melibatkan lima buah rumah lain itu, cucu perempuan mangsa berusia 24 tahun mengalami kecederaan di lutut dipercayai ketika menyelamatkan diri.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Azmi mengingatkan orang ramai yang berhasrat ke Pulau Giam di Pulau Pangkor agar peka dan sentiasa berwaspada kepada pasang surut air laut.

Katanya, mereka disaran agar mendapat maklumat yang tepat daripada agensi berkaitan terutama Jabatan Laut sebelum berjalan kaki ke pulau berkenaan.

“Bagi memastikan keselamatan pengunjung, kita telah melaksanakan pelan kontingensi dan tahap keselamatan di kawasan itu melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor.

“Selain itu, kita akan meletakkan pasukan bersama peralatan menyelamat yang asas untuk bersedia, sekiranya berlaku insiden tidak diingini, kita dapat tanganinya dengan lebih cepat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI