PARIS – Penduduk dunia meningkat melepasi angka lapan bilion buat kali pertama baru-baru ini tetapi sebilangan negara termasuk yang paling ramai penduduk, China menyaksikan populasinya mengecil.
Penurunan itu dijangka berterusan. Faktor seperti kos sara hidup meningkat serta lebih ramai wanita memasuki dunia pekerjaan dan lewat hamil, menyaksikan penduduk di sebilangan negara memiliki kurang anak.
Populasi China juga mengecil buat kali pertama dalam masa enam dekad pada tahun lalu, demikian menurut data rasmi kelmarin. India dijangka mengambil alih kedudukan China sebagai negara dengan populasi terbesar dunia tahun ini.
Negara-negara lain, kebanyakannya di Eropah dan Asia, bakal menyaksikan kemelestan demografi pada dekad akan datang, demikian menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai 2022.
Statistik PBB itu meramalkan bagaimana populasi dunia berkembang dari sekarang hingga tahun 2100.
Gambaran berbeza muncul di Benua Afrika di mana populasinya dijangka meningkat daripada 1.4 bilion kepada 3.9 bilion menjelang 2100 dengan sekitar 38 peratus penduduk Bumi akan menetap di sana, berbanding kira-kira cuma 18 peratus sekarang.
Sebanyak lapan negara dengan populasi lebih 10 juta, sebahagian besarnya di Eropah, menyaksikan penduduk di negara masing-masing mengecil sejak sedekad lalu.
Antaranya ialah negara yang dilanda perang, Ukraine tetapi juga tidak terkecuali Greece, Itali, Poland, Portugal dan Romania. Semua negara tersebut mencatat kadar kelahiran rendah antara 1.2 hingga 1.6 anak untuk seorang wanita.
Di luar Eropah, Jepun menyaksikan penurunan populasi disebabkan rakyatnya yang semakin tua, manakala penduduk wanita hanya melahirkan purata 1.3 anak, selain kadar kemasukan imigran juga rendah. Justeru, tidak hairan Jepun kehilangan lebih 3 juta penduduk antara tahun 2011 hingga 2021.
Akhir sekali di Syria, populasinya terjejas teruk akibat perang saudara yang berterusan sejak 2011.
Kelapan-lapan negara terbabit kecuali Syria, dijangka mengalami penurunan populasi, demikian menurut PBB.
China khususnya diramal hilang hampir separuh populasinya menjelang 2100, merosot daripada lebih 1.4 bilion kepada 711 juta penduduk.
Populasi Russia pula akan mula mengecil menjelang 2030 bersama Jerman, Korea Selatan dan Sepanyol.
Thailand, Perancis, Korea Utara dan Sri Lanka pula diramal menyusul menjelang 2050.
Banyak negara lain, termasuk India, Indonesia, Turkiye dan Britain dijangka mengalami situasi serupa dalam separuh kedua abad ini.
Sementara itu, menurut PBB, populasi keseluruhan planet ini dijangka menurun hanya dalam tahun 2090-an selepas memuncak kepada 10.4 bilion.
Menjelang 2100, populasi Eropah, Amerika dan Asia memasuki trend penurunan tetapi penduduk Benua Afrika dijangka terus meningkat. – AFP