fbpx

Ayam belum bertelur, isu telur selesai dalam dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FUZIAH Salleh (kanan) melihat barang keperluan yang dijual dengan harga lebih murah dalam program Jualan Rahmah di Pasar Raya TF di Bentong semalam.

BENTONG – Kekurangan bekalan telur ayam masih berlaku di seluruh negara disebabkan baka ayam penelur yang baharu dibawa masuk ke negara ini masih belum bertelur.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, bekalan telur dijangka dapat diatasi dalam tempoh dua bulan lagi selepas ayam penelur baka baharu itu mula bertelur.

“Isu kekurangan telur ayam berlaku oleh kerana kekurangan baka ayam penelur jadi apabila kita dapat membawa masuk baka ayam yang baharu jadi kita memerlukan masa enam bulan untuk baka ayam bertelur.

“Kita tidak boleh hendak paksa dia (ayam) bertelur terlalu cepat, jadi enam bulan itu sudah hampir dihujung, dalam satu dua bulan lagi,”katanya selepas melakukan tinjauan Jualan Rahmah di Pasar raya TF Bentong di sini semalam.

Menurut Fuziah, kerajaan sentiasa berusaha memastikan bekalan makanan termasuk telur sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat di negara ini.

Katanya, bekalan telur yang mula menghadapi masalah sejak Oktober tahun lalu dijangka selesai dan dapat kembali stabil selepas ayam penelur baru mula bertelur.

Dalam pada itu beliau berkata, program Jualan Rahmah yang diperkenalkan KPDN akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara dari semasa ke semasa.

Katanya, program itu bukan sahaja akan dilaksanakan pada sambutan tertentu seperti menjelang hari raya tetapi juga pada hari-hari biasa.

“Jadi ia sesuatu yang benar-benar membantu rakyat kurangkan kos sara hidup, rakyat menunggu jualan rahmah di tempat masing-masing dan sekerap yang mungkin dan mungkin pasaraya berbeza beza.

“Tidak ada kos atas kerajaan kerana ini inisiatif kerajaan runding dengan pasaraya dan memastikan bahawa rakyat dapat keuntungan kita harap akan berterusan saya yakin menjadi sesuatu rakyat tertunggu-tunggu,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI