KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia langsung tidak berputus asa apabila bangkit menewaskan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 20-22, 21-19, 21-12 pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka India hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Ghandi, New Delhi, pemain No.2 dunia itu bagaimanapun memulakan aksi dengan agak perlahan apabila tewas di set pertama sebelum melakukan kebangkitan dalam dua set berikutnya bagi melangkah ke pusingan kedua.
Keputusan itu sedikit sebanyak melegakan peminat badminton tanah air selepas Zii Jia gagal menampilkan aksi terbaik ketika tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lalu.
Terdahulu, dia yang merupakan juara Asia membuat keputusan mengejutkan apabila mahu bergerak secara solo tanpa bimbingan jurulatih selepas berpisah dengan pengendali dari Indonesia, Indra Widjaja November tahun lalu.
Menanti Zii Jia di pusingan kedua esok adalah pemenang di antara pemain China, Li Shi Feng dan seorang lagi pemain negara, Ng Tze Yong yang sedang berentap ketika ini.
Seorang lagi perseorangan lelaki profesional, Liew Daren bagaimanapun gagal mengikut jejak langkah Zii Jia apabila terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 9-11 di set pertama kepada wakil Denmark, Hans Kristian Vittinghus akibat kecederaan.
Sementara itu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut terkandas di pusingan pertama ketika bertemu gandingan No.1 dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong selepas tewas 11-21, 7-21. – KOSMO! ONLINE