SARIKEI – Seorang wanita warga terselamat selepas bertindak terjun ke dalam longkang berketinggian lima meter di Jalan Meranti, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 10.07 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei bergegas ke lokasi.
Setibanya di lokasi kejadian mendapati wanita dikenali sebagai Tiong Poh Chu, 65, itu sedang berdiri di atas bahagian titi simen longkang berkenaan, dalam cubaan hendak terjun.
“Pihak bomba cuba memujuk namun tidak diendahkan dan mangsa terus terjun. Seorang anggota bomba yang bersedia di dalam longkang berjaya mencapai tangan mangsa sebelum membawa mangsa naik ke atas,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kedalaman air dalam longkang ketika kejadian pada paras paha dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada bahagian tangan dan diberi rawatan awal oleh unit EMRS sebelum dihantar ke hospital.-KOSMO! ONLINE