fbpx

Wabak ASF: Karkas babi ditanam jauh dari rumah penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Tanah-tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang masih belum dibangunkan akan digunakan untuk menanam karkas babi yang dijangkiti wabak demam babi afrika (ASF).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lokasi penanaman karkas babi itu juga jauh daripada penempatan penduduk bagi mengurangkan impak terhadap orang ramai.

“Kita ada kerjasama dengan PDC dan PDC memang ada tanah yang masih belum sedia untuk dijual, jadi kita cari tanah yang sesuai untuk ditanam karkas babi ini.

“Cara begini diharapkan kurangkan impak kepada alam sekitar, kalau kita nampak di tepi jalan ada pegawai yang memakai pakaian peralatan pelindung diri (PPE) jangan risau kerana mereka sedang menjalankan tugas,” katanya selepas sidang media di Komtar, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF sebagai ‘bencana’ selepas lebih 25,000 babi dijangkiti ASF dan setakat ini 11 buah ladang dikesan positif wabak berkenaan.

Setakat semalam, kira-kira 4,000 ekor babi dari tiga buah ladang telah dimusnahkan sepenuhnya dan pemusnahan babi di ladang-ladang yang sah dijangkiti akan dilaksanakan secara berperingkat.

Pemusnahan babi itu dilakukan menggunakan kaedah gas CO2 (Kepekatan Tinggi) yang mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan – Pengurusan Pembuangan Haiwan.

Berdasarkan data bancian Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

Menurut Kon Yeow, cara pembakaran babi yang dijangkiti tidak sesuai dijalankan memandangkan jumlah babi yang dikesan dijangkiti ASF adalah banyak.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, bekalan babi untuk kegunaan penduduk di Pulau Pinang masih mencukupi walaupun terdapat ladang yang terjejas akibat wabak ASF.

“Kita adalah pengeksport babi, memang ada sedikit terjejas (eksport) akibat wabak ini kerana kita tidak boleh bawa keluar babi ini.

“Namun untuk kegunaan tempatan masih mencukupi kerana kita ada lebihan bekalan buat masa ini,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI