fbpx

TV Alhijrah hidupkan al-Quran dalam televisyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEMI dakwah dan menghidupkan al-Quran dalam hati serta kehidupan seharian umat Islam di Malaysia, TV Alhijrah tampil memperkenalkan lima program utama sempena tahun baru 2023.

Enggan masyarakat beragama Islam ‘hanyut’ dengan sajian hiburan semata-mata, TV Alhijrah menerbitkan program Quran@114 berorientasikan tadabbur yang mengajak penonton menghayati makna ayat al-Quran.

Quran@114 ini sudah mula menemui penonton sejak 1 Januari lalu dan diketuai oleh beberapa personaliti dan tenaga pengajar hebat mengikut kepakaran masing-masing.

Antara personaliti yang terlibat ialah Imam Muda Hassan, Ustaz Dr. Shamsul Mohd Noor, Prof. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Ustazah Isfadiah Mohd Dusuki, Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Fahmi Asraf Razali, Ustazah Aisyah Baa’in dan Ustazah Nur Ruzana Natiah Jaafar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris, al-Quran perlu berada dalam diri setiap insan dan berharap program Quran@114 dapat mengubah sifat seseorang mendekatkan diri dengan agama.

“Al-Quran perlu terus ‘hidup’ dalam setiap rumah orang Islam. Bagi yang pernah mengikuti perjuangan saya ketika aktif dalam penerbitan program hiburan di sebuah stesen TV swasta sebelum ini, kita tidak dapat nafikan dalam kita berhibur pasti perlu mencari ruang untuk mendekatkan diri al-Quran.

“Jadi, saya nak jadikan amalan membaca al-Quran ini sebagai satu sifat semula jadi yang perlu ada dalam diri setiap insan. Kalau sehari kita ada 24 jam, apa salahnya kita peruntukan sekurang-kurangnya satu jam untuk fokus kepada al-Quran.

Sementara itu, buat julung kalinya TV Alhijrah memperkenalkan sebuah program realiti mengaji yang bermatlamat melahirkan generasi Qurani sebagai pelapis kepada asatizah bidang al-Quran.

Program yang diberi nama Akademi Qurra’ bakal menampilkan 12 peserta mendalami ilmu al-Quran dalam tempoh 10 minggu.

Namun, hanya seorang peserta yang benar-benar memahami intipati al-Quran akan diumumkan sebagai pemenang, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 beserta, trofi, sijil dan hadiah sampingan.

Program realiti yang bakal bersiaran secara langsung bermula 28 Januari tersebut bakal dihoskan Fakhrul UNIC, manakala Ustaz Tarmizi Abd. Rahman bertindak sebagai juri tetap.

Setiap peserta akan memiliki mentor yang akan menurunkan segala ilmu berkenaan keindahan al-Quran. Antaranya ialah Ustazah Farhatul Fairuzah, Ustaz Ammar Mukhlis dan Ustaz Furqan Fawwaz.

Melihat kebanjiran program realiti hiburan sekarang ini, Namanzee juga terdetik untuk membawakan program realiti agama yang sudah lama tidak dibawakan mana-mana stesen.

“Mana hilangnya program realiti agama? “Rasanya sudah tiada, jadi kita mengharapkan program ini akan menjadi permulaan dan panduan supaya program realiti agama terus dihidupkan,” katanya.

NAMANZEE

Tarik generasi muda

Mengakui generasi muda kini lebih memilih media sosial sebagai platform utama, TV Alhijrah tidak akan berputus asa dalam membawakan program yang mampu menarik golongan muda untuk menonton televisyen.

Justeru, sebuah program berjudul Qawiy Wuz Here diterbitkan ke arah golongan berkenaan.

Bakal bersiaran 28 Januari nanti, Qawiy Wuz Here menampilkan pempengaruh terkenal TikTok, Abd. Qawiy Abd Rashit, 26, yang akan membawa penonton melawat destinasi pelancongan menarik di Lembah Klang sambil mempelajari dan menghafal surah pendek di dalam al-Quran.

Menariknya konsep terjah diaplikasikan setiap kali Qawiy bertemu orang awam yang berani menyahut cabaran membaca surah al-Quran.

Bercerita mengenai program Qawiy Wuz Here, Namanzee berkata, program berkenaan bakal menarik minat generasi muda yang mengikuti perkembangan Qawiy di media sosial untuk menontonnya dalam televisyen.

“Qawiy memiliki pengaruh yang luar biasa di media sosial, jadi kami ingin berkerjasama dengan individu sebegini untuk memastikan generasi muda terus tertarik dengan al-Quran,” katanya.

Dua program lain yang bakal menghiasi permulaan tahun di TV Alhijrah ialah Assalamualaikum An-Nisa’ dan Kembara Mahsyar yang bakal memulakan tayangannya pada 3 Februari ini.

PEMPENGARUH media sosial, Qawiy sebagai pengacara Qawiy Wuz Here diharapkan mampu menarik golongan muda menonton televisyen.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI