PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang pengarah bahagian berpangkat Datuk ekoran disyaki menerima rasuah daripada kontraktor yang mendapat projek di sebuah kementerian.
Difahamkan, individu terbabit menerima bayaran rasuah secara bulanan dengan jumlah besar daripada kontraktor yang mendapat projek di kementerian tersebut.
Sumber SPRM berkata, selain pengarah bahagian, dua lagi yang ditahan merupakan seorang perunding projek selain seorang pengarah syarikat binaan.
“Kesemua suspek lelaki itu berusia lingkungan 40an ditahan di sekitar Putrajaya dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara pukul 11 pagi hingga 9 malam ketika hadir memberi keterangan.
“Wang rasuah itu merupakan bayaran daripada kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh kementerian terlibat sebagai balasan untuk mempercepatkan proses bayaran tuntutan, membantu meluluskan Arahan Perubahan Kerja (Variation Order) dan Lanjutan Tempoh Masa (Extension of Time) projek,” katanya di sini tadi.
Menurutnya, suspek juga dipercayai menerima suapan wang secara bulanan selain mendapat sogokan seperti barang-barangan mewah untuk kegunaan peribadi.
Susulan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman selama tujuh hari kepada pengarah bahagian tersebut manakala dua lagi suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.
Keputusan itu dibuat setelah pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE