SEREMBAN – Operasi perniagaan di Pasar Besar Seremban akan dilanjutkan sehingga pukul 12 malam pada malam perayaan sambutan Tahun Baharu Cina, Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi mengelakkan kesesakan di pasar berkenaan bagi membolehkan masyarakat berbelanja.
“Operasi Pasar Besar Seremban akan dilanjutkan sehingga pukul 12 malam bagi mengelakkan kesesakan di pasar tersebut. Mereka boleh mengambil peluang untuk berbelanja lebih lama.
“Ini merupakan kali pertama dan diluluskan melalui Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Pengerusi Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong akan menanggung kos permit pada jualan pada malam Tahun Baharu Cina itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin dalam pada itu memaklumkan, pihak kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan operasi pasar utama berkenaan pada hari perayaan yang lain.
“Kerajaan negeri mengambil kira juga perayaan lain selepas ini seperti sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE