MELBOURNE – Pemain pilihan kelima, Aryna Sabalenka mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Australia dengan menewaskan pemain ranking ke-74 dunia, Tereza Martincova dengan keputusan 6-1, 6-4 semalam.
Pada aksi pusingan pertama itu, atlet kelahiran Belarus itu hanya memerlukan masa satu jam 9 minit untuk menewaskan Martincova dan bakal membuat perhitungan dengan wakil Amerika Syarikat (AS), Shelby Rogers esok.
Sabalenka berkata, aksi pembukaan pada mana-mana kejohanan bukanlah semudah yang disangka, tetapi mungkin kecemerlangan yang dipamerkan untuk menjuarai Terbuka Adelaide minggu lalu telah menaikkan motivasi dalam usaha memberikan yang terbaik.
“Ini adalah perlawanan yang sukar kerana Martincova memberikan tentangan yang cukup sengit khususnya pada set kedua. Namun, saya akui agak lega selepas dapat meraih kemenangan pertama yang boleh meningkatkan moral selepas ini.
“Cuma, harus diakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek mentaliti agar saya dapat terus kekal bertenang di atas gelanggang walaupun nasib tidak memihak kepada saya nanti,” katanya.
Sementara itu, pemain muda dari Kanada yang berada di ranking ke-40 dunia, Leylah Fernandez turut meloloskan diri ke pusingan kedua selepas menyingkirkan bintang veteran Perancis, Alice Cornet dengan keputusan 7-5, 6-2 semalam.
Leylah yang berusia 21 tahun berharap dapat mengulangi magis dalam kejohanan bertaraf Grand Slam buat kali kedua dalam kariernya selepas berjaya mara ke peringkat akhir saingan Terbuka AS edisi 2021. – AGENSI