CANBERRA – Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Australia menimbulkan rasa cemas apabila juruterbangnya melaporkan kegagalan satu enjinnya semasa dalam perjalanan dari Auckland ke Sydney, lapor portal berita MailOnline.
Pasukan paramedik bergegas ke Lapangan Terbang Sydney ketika 200,000 orang berusaha menjejaki pesawat milik Qantas Airlines itu menerusi laman web pemantau penerbangan, FlightRadar.
Penumpang pesawat berkenaan bagaimanapun tidak dimaklumkan mengenai masalah tersebut. Mereka mendakwa mendengar bunyi dentuman kuat, tetapi hanya menyedari situasi adalah serius selepas pesawat berjaya mendarat.
Setelah mendarat, juruterbang pesawat dilaporkan berjabat tangan dengan kesemua 145 penumpang ketika mereka diiring meninggalkan pesawat.
Seorang penumpang memberitahu: “Ia hanya senyap, semua orang berkelakuan baik, semua orang melakukan apa yang mereka perlu lakukan.”
Panggilan kecemasan dibuat ketika pesawat tersebut sudah berada separuh perjalanan ke Sydney yang mengambil masa tiga jam sahaja.
“Panggilan Mayday adalah panggilan kecemasan atau kegawatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia kepada AAP.
Panggilan itu dibuat apabila penerbangan berada dalam bahaya besar dan memerlukan bantuan segera, demikian menurut syarikat Airservices Australia.
Qantas Airlines dianggap sebagai salah satu syarikat penerbangan paling selamat di dunia tanpa rekod kemalangan maut dalam tempoh lebih 70 tahun. – Agensi