PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal dikecam kerana diangggap menunggang dengan cuai sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak tercampak ke jalan raya.
Kejadian itu dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta dan dipercayai berlaku di Sri Petaling, Selangor.
Dalam video itu, motosikal yang ditunggang lelaki terbabit dipercayai hilang kawalan.
Kanak-kanak yang membonceng bersama tercampak dan berguling di atas jalan manakala penunggang serta motosikal tersebut merempuh penghadang jalan.
Orang awam yang berada di lokasi bertindak pantas menyelamatkan kanak-kanak itu yang sedang menangis.
Bagaimanapun, penunggang motosikal dan kanak-kanak itu selamat serta tidak mengalami kecederaan serius.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai netizen mengecam penunggang motosikal yang didakwa cuai serta mengundang bahaya terhadap kanak-kanak tersebut.
“Bapa itu okey atau tidak? macam bawa motosikal senget ke tepi sahaja. Kadang-kadang kita tidak tahu kalau penunggang motosikal tiba-tiba tidak sihat. Mungkin bukan sengaja, harap baik-baik sahaja,” komen Lina Shazwani.
“Selalu nampak anak-anak kecil dibawa baik motosikal, bayi pun ada. Perlu ada undang-undang yang lebih ketat di mana kalau bawah umur tertentu tidak boleh dibawa naik motosikal,” komen seorang pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE