PUTRAJAYA – Malang menimpa seorang pekerja kontrak pembersihan awam Alam Flora apabila dia dirempuh sebuah kereta ketika melakukan kerja pembersihan pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi di Lebuh Wawasan itu, pekerja itu mengalami cedera ringan di beberapa bahagian badan sebelum di bawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.
Insiden itu dikongsi SWCorp Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian, pekerja berkenaan dikatakan sedang membersihkan jalan malah, kon keselamatan juga telah diletakkan di sisi jalan sebagai langkah keselamatan.
“Mangsa kini berada di Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib turut menasihatkan pengguna kenderaan supaya memandu dengan berhati-hati di laluan kerja-kerja permbersihan.
“Sila patuhi papan tanda kelajuan terutama di selekoh serta membantu memastikan semua pekerja pembersihan selamat melakukan kerja mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE