fbpx

Media sosial bukan tempat selesaikan isu rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila pelakon dan pengarah terkenal Syamsul ­Yusof tampil memaklumkan sudah bernikah dengan anak pe­rempuan pelakon veteran, Kazar Saisi yang dikenali sebagai Ira Kazar.

Sejak pengakuan itu dibuat, ahli keluarga kedua-dua belah pihak saling berbalas kenyataan di media sosial masing-masing, sekali gus mengundang netizen ataupun pihak luar untuk ikut masuk campur menyuarakan pendapat masing-masing berhubung kemelut rumah tangga pelakon itu.

Hal ini sebenarnya bukan baru berlaku dan ia juga tidak terjadi dalam kalangan selebriti terkenal sahaja. Dalam kalangan orang-orang biasa pun, berkongsi masalah rumah tangga di media sosial sebenarnya sudah menjadi kebiasaan.

Sama ada disampaikan secara peribadi dengan me­nyembunyikan identiti melalui ­Facebook Page seperti ‘Kisah Rumah ­Tangga’ ataupun menggunakan platform media sosial sendiri.

Baru-baru ini penulis sering melihat ramai yang tampil di sebalik akaun Twitter yang dibuka khas untuk berkongsi masalah rumah tangga.

Di situ, bukan orang yang sudah berkahwin saja meminta nasihat orang ramai mengenai masalah rumah tangga mereka, malah orang yang bakal membina rumah tangga juga tampil untuk bertanya pendapat orang yang tidak dikenali.

Hakikatnya, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana pendapat yang diberikan oleh orang ramai kebiasaannya mengikut emosi masing-masing.

Sudah tentu, individu yang mengadu masalah rumah tangga itu akan didorong oleh nasihat-nasihat orang-orang yang tidak bertauliah.

Menurut Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh, berkongsi kisah rumah tangga di media sosial sudah tidak asing di zaman digital kini.

Malah katanya, kebanyakan keretakan rumah tangga turut berlaku akibat daripada pasangan suami isteri yang suka mengadu masalah rumah tangga atau membuka aib pasangan di media sosial.

Katanya, ada individu yang cenderung melakukan perkara itu kerana mahu mendapatkan sokongan daripada orang ramai atau didorong perasaan terasa diri bersendirian berdepan masalah peribadi itu.

“Masalah rumah tangga ini dari zaman dahulu lagi memang ada, Cuma dulu tiada platform media sosial seperti sekarang.

“Sekarang ini, ada yang lebih mengikut emosi, ataupun ada juga yang mahukan perhatian kerana apabila dia bercerita kepada umum, dia berpendapat orang ramai akan menyokong­nya,” katanya Ketika dihubungi Kos­mo! baru-baru ini.

Beliau berkata, sebaiknya jika berlaku perselisilahan faham antara suami isteri, rujuklah kepada pihak yang lebih arif iaitu kaunselor rumah tangga.

“Perlu ingat, mendedahkan masalah rumah tangga pada umum juga akan membuka aib pasangan. Baik kepada lelaki atau wanita, bila aib terdedah, ia juga akan memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain.

“Serta kesan yang paling besar ialah kepada anak-anak. Seelok­nya selesaikanlah secara baik, buang perasaan ego dan marah terhadap pasangan dan rujuk kepada yang lebih arif tentang apa penyelesaian yang sebaiknya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI