KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium Jun tahun lalu.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan pelakon drama “Suamiku Encik Sotong” itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
“OKS merupakan seorang duda anak satu dan turut menjaga anaknya. Sepanjang siasatan kes dijalankan OKS tidak pernah melarikan diri dan memberi kerjasama yang baik,” kata peguam itu
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. Tarikh 6 Mac ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. KOSMO! ONLINE